Martabat Tujuh-Suatu Persoalan


Fakir yang dhoif memulakan bicara ini dengan Taufiq dan limpah kurniaNya Yang Maha Meliputi di atas segala sesuatu. Semoga pena yang tertulis terbimbing ke arah “jalan yang benar” hendaknya.

Alhamdulillah, syukrillah kerana telah diberikan suluk sedikit kelonggaran waktu ini untuk memberi sedikit pandangan berkaitan dengan bicara Martabat Tujuh dan Nur Muhammad sebagai memenuhi permintaan saudara yang berhajat.

Suluk telah membaca tulisan Prof. Dr. HM Rasjidi mengenai ilmu Martabat Tujuh dan Nur Muhamad untuk beberapa kali agar dapat difahami maksud sebenar pandangan beliau. Di samping itu suluk telah terheret sama untuk melihat beberapa bicara dan diskusi lain yang terdapat pada webpage al-ahkam on line tersebut yang banyak menyentuh tentang hal-hal yang berkaitan Tasauf termasuklah penafian mereka berkenaan dengan hulul, ittihad, wahdatul wujud dan tuduhan aliran perosak agama yang ada pada isyarat Sheikh Muhyidin Ibnu Arabi oleh Prof. Yusof Al-Qhordawi di samping kesesatan Al-Hallaj.

Insya Allah, suluk akan cuba memberikan pandangan-pandangan yang “haq” lagi sebenar kepada tuduhan-tuduhan tersebut berdasarkan dalam bicara yang khusus kerana adalah menjadi tanggungjawab suluk untuk menjernihkan kekeliruan yang terdapat pada webmaster tersebut kerana walaupun diri ini bukanlah ahli untuk hal-hal ini. Cuma sekadar diri yang telah beberapa kali mempelajari ilmu tersebut. Tujuannya pula hanyalah sekadar untuk menyatakan kebenaran dan kesuciannya, bukan untuk berhujah atau berdebat. Terpulanglah nanti kepada sesiapa yang menelitinya untuk menerima atau menolaknya tetapi sebaiknya terlebih dirujuk kepada guru-guru yang ahli dalam bidang ini sebagai penapis yang sebaik-baiknya;

“Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak berikan cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya”. (Al-Quran)

Sebagai permulaannya biarlah suluk berikan sedikit respon berkaitan dengan tulisan Prof. Dr. HM Rasjidi mengenai ilmu Martabat Tujuh dan Nur Muhamad.

Untuk makluman saudara, memang tidak dinafikan bahawa terdapat kesalahan dan kekeliruan “orang-orang yang tidak ahli” dalam memahami idea dan maksud sebenar Ilmu Martabat Tujuh. Demikian juga hal yang berkaitan dengan Nur Muhammad, di mana bukan sahaja mereka yang hanya sekadar mengenali sesuatu itu secara zhohir sahaja keliru dan bingung dengan istilah-istiilah dan kiasan ahli sufiah ini, tetapi di kalangan pengamal-pengamal tasauf yang terpinggir juga turut terjebak dengan kekeliruan dan kebingungan ini sehinggalah menimbulkan suasana yang prejudis dan salah sangka kepada maksud dan idea sebenar Ilmu Martabat Tujuh itu. Maka bertebaranlah fitnah di atas kesucian ilmu martabat tujuh yang sebenarnya.

Oleh kerana itu, tidak hairanlah ada yang mendakwa dirinya sebagai telah mencapai kesempurnaan hakikat sehingga menggugurkan syariat dan sebaliknya ada pula yang pula yang kontradik menuduh yang bukan-bukan kepada kemurniaan ilmu ini kerana semata-mata berpandukan beberapa gelintir manusia yang sesat di samping hanya sekadar membaca kitab-kitabnya secara bersendirian dan membuat kefahaman mengikut akal mereka yang singkat tanpa penerangan dari guru yang mursyid. Renungkanlah firman Allah Taala yang bermaksud;

(Mereka tidak mahu berfikir betul) bahkan mereka (terburu-buru) mendustakan kebenaran apabila sahaja sampainya kepada mereka; oleh sebab itu, mereka berada dalam keadaan yang serba kacau.(Al-Qaf:5)

“Sesungguhnya barangsiapa yang Allah tidak berikan cahaya, maka tidaklah ada cahaya baginya”. (Al-Quran)

Ketahuilah olehmu wahai saudara-saudara seagamaku, semoga Allah memberi sedikit petunjuk dan Nur MakrifatNya bahawa “bagi tiap-tiap ilmu ada ahlinya” dan pada tiap-tiap yang zhohir itu ada yang batinnya.

Dengan kerana inilah tercatat dalam Kitab Ad-Durul Nafs bahawa Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud;

“Tiada jua berkata satu kaum dengan kata yang tiada sampai kepadanya akal mereka itu melainkan adalah memberikan fitnah atas mereka itu’.

Demikian juga Imam Ghazali ada menjelaskan perkara ini dalam Ihya Ulummuddin dengan kata-katanya seperti berikut;

“Ditegahkan daripada menzhohirkan rahsia itu kerana pendek segala faham untuk mendapatkannya”.

Dengan kerana inilah, maka Syeikh Ibnu ‘Arabi pernah berkata;

“Adalah bagi kaum(penghulu ahli sufi) itu beberapa istilah mereka yang tiada mengetahui akan ia melainkan bagi “ahlinya”. Maka tiada harus (haram) bagi yang bukan ahlinya mentelaah segala kitab-kitab mereka kerana tiada mengetahui kehendaknya(ahli sufi). Jika diambil atas zhohir perkataan mereka itu, maka membawa kepada “KUFUR”.(Petikan Kitab Manhalus Shofi yang membicarakan martabat tujuh dan kupasan beberapa puisinya)

Dengan memahami sabda Nabi SAW. dan kata-kata mereka yang ahli dalam bidang ini; Jadi tidak hairanlah kenapa Prof. Dr. HM Rasjidi boleh berkata dan menuduh sedemikian rupa kepada Ilmu tersebut. Walaupun seorang prof….tetapi beliau bukanlah dari kalangan ahli-ahlinya sebagaimana juga Prof. Yusof. Qhodawi yang menuduh Ibnu Arabi perosak agama hanya kerana beliau jahil dan bingung dalam memahami maksud sebenar puisi-puisi yang penuh dengan isyarat-isyarat Alam Tinggi. Janganlah menjadi seperti mereka sebagaimana Firman Allah Taala yang bermaksud;

Orang-orang yang zalim itu (tidak berfikir), bahkan menurut hawa nafsu mereka (melakukan syirik) dengan tidak berdasarkan pengetahuan. Maka tiada sesiapa yang dapat memberi petunjuk kepada orang yang telah disesatkan oleh Allah (disebabkan bawaannya sendiri), dan tiada pula bagi mereka sesiapa yang dapat menolong melepaskan mereka dari azab.(Al-Rum:29)

Umpama seperti seorang nelayan biasa yang tidak memahami isyarat kod-kod(morse kod) yang kedengaran pada kapal-kapal dagang atau perang, tentu sekali akan memberi respon yang kebudak-budakkan yang tidak sempurna akal matangnya apabila sesuatu isyarat yang janggal baginya. Ahli-ahliLah apabila mengeluarkan sesuatu bicara, kalimah-kalimah mereka adalah penuh dengan hikmah dan rahsia-rahsia Alam Tinggi kerana kalam-kalam mereka adalah Kalam Ilmu Laduni yang bukan dengan datang dari khayalan atau fikiran mereka; dan untuk memahami pula, orang-orang yang pendek akal seperti kita ini memerlukan ilmu alatnya untuk menterjemahkan dan salah satu dari alat-alat tersebut ialah pengetahuan mengenai Martabat Tujuh. Firman Allah Taala yang bermaksud;

Bertanyalah (kepada mereka): “Adakah sama orang yang buta dengan orang yang celik? Tidakkah kamu mahu berfikir?”(Al-An’aam:50)

Tidak hairanlah ramai juga yang ghairah mentafsirkan dan bermain-main dengan istilah-istilah Ahli Sufi yang tinggi-tinggi atau yang halus-halus itu, sedangkan mereka mentakrifkan dan menggunakannya pada tempat yang tidak betul kerana semata-mata mengikut logik akal atau Ilmu Zhohir. Dalam bab/perkara ilmu batin syariat(Tasauf) ini, bukan pangkat atau taraf pengajian yang menjadi syarat atau ukuran seseorang untuk dijadikan petunjuk bahawa mereka itu ahlinya, tapi hal-ahwalnya yang selari dengan apa yang diucapkan di samping pengalaman keruhanian yang telah dilaluinya. Semua itu atas limpah Kurnia Allah Taala jua. Fikirkan dan renungkanlah Firman Allah Taala yang bermaksud;

Dan di bumi ada beberapa potong tanah yang berdekatan (tetapi berlainan keadaannya); dan padanya ada kebun-kebun anggur, dan jenis-jenis tanaman serta pohon-pohon tamar yang berumpun dan yang tidak berumpun; semuanya disiram dengan air yang sama; dan Kami lebihkan buah setengahnya dari setengahnya yang lain (pada bentuk, rasa, dan baunya) Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi tanda-tanda kekuasaan Allah bagi orang-orang yang (mahu) berfikir serta memahaminya.(Al-Rad:4)

Untuk mengenalinya dan memahami apa itu martabat tujuh dan apa dia idea-idea yang terdapat dalam Nur Muhammad seseorang itu perlulah mengaji dan menuntut dengan mereka yang ahli dengannya. Biasanya mereka(guru-guru yang ahli) tidaklah suka mewarwarkan mereka ini ahli atau megah dengan pangkat atau martabat pengajian atau maqamat sebagaimana ahli-ahli dunia yang masyhur dan berbangga dengan dr. prof dsb. Mereka ada ahlilLah dan ilmu mereka adalah tersembunyi sebagaimana tersembunyi mutiara di dasar lautan. Carilah jawapan dan dapatkan kefahaman yang sebenar dari mereka terlebih dahulu walaupun dengan seorang kampung yang berkain pelikat yang lusuh atau dari hamba abdi yang hitam.

Firman Allah dalam surah Yunus:106 bermaksud: "Mereka yang beriman dengan Allah tetapi masih banyak daripada mereka yang syirik".

Berdiskusi dan berbicara dalam tulisan-tulisan seperti di sana (al-ahkam on line)sama sekali tidak akan berupaya menjejaki kefahaman yang sebenar. Perlu mengadap secara berdepan dan perlu dihuraikan secara jelujur dengan penuh hikmah oleh guru-guru yang mursyid. Jika dinyatakan juga dalam bentuk tulisan-tulisan seperti ini, akan timbul pula pelbagai kekeliruan dan kebingungan dalam memahami idea dan maksudnya sebenarnya dan sememangnya banyak buruk dari baiknya jika diterangkan juga di sini. Ini adalah kerena masih ramai yang buta mata hatinya untuk melihat sesuatu yang batin yang datang dari Alam Ghaib apatah lagi untuk meneroka idea-idea yang terhimpun dalam sesuatu kalimah mereka. Oleh itu janganlah main ikut sedap rasa sahaja sehingga terburu-buru melemparkan tuduhan-tuduhan yang boleh menghina kedudukan mereka di sisi agama. Ambillah sedikit iktibar dan pengajaran dari al-Qur’an mengenai kisah Nabi Khaidir a.s. dan Nabi Musa a.s berkaitan dengan hal ini dalam Surah Al-Kahffi. Perhatikan ayat ini;

Dan (ingatlah) aku (Nabi Khaidir) tidak melakukannya menurut fikiranku sendiri. Demikianlah penjelasan tentang maksud dan tujuan perkara-perkara yang engkau(Nabi Musa) tidak dapat bersabar mengenainya”.(Al-Kahffi:52)

Janganlah dengan kerana kedunguan pendek akal beberapa orang yang tersasar atau mereka yang terlatah kerana terlalu ghairah dengan ketinggian ilmu ini dijadikan sebagai batu pengukur bahawa itu salah, ini tak betul dan sana sesat sini kufur. Tidak akan terurai mana yang benar dan mana yang salah jika hanya dengan sedikit kajian yang mandul berdasarkan dari pendapat dan pandangan ahli-ahli zhohir, ahli-ahli falsafah dan buku-buku ulama zhohir, bicara ulama sufi (tapi masih zhohir sebenarnya) serta rumusan-rumusan dari kependekkan akal yang terbatas ini.

Tidak mungkin seorang yang belum pernah merasai lazatnya madu lebah dapat memperihalkan rasa dan wajah lazat itu dengan menghmpunkan kekuatan akalnya semata-mata. Rasalah dulu dan hayatilah dulu rasanya, barulah dapat di rasai dan difahami kelazatannya yang tidak ada istilah dan isyarat yang boleh dijadikan petunjuk untuk memaknakan erti lazat itu. Masuklah ke dalam bidang rasa, zauk dan wujdan kerana hanya dengan ini sahajalah anda akan menjejaki rahsia di sebalik kebenaran Ilmu AhlilLah ini. Bukan semata-mata dengan bacaan buku-buku atau tulisan-tulisan seperti ini , bukan dengan melemparkan tuduhan-tuduhan, bukan dengan banyaknya kajian-kajian dan penghasilan tesis-tesis. Tapi ia hanya akan dapat dicapai oleh mereka yang hidup ruhnya atau terbuka “sir”nya yang mampu untuk terbang dan meneroka Alam Makrifatullah mengikut kadar yang diizinkan oleh Allah Taala.

Firman Allah dalam Hadis Qudsi yang bermaksud;

Telah Aku memperbuatkan di dalam rongga anak Adam itu suatu mahligai dan adalah

  • di dalam mahligai itu dada(Shodron) dan
  • di dalam dada(Shodron) itu Hati dan
  • di dalam Hati itu Fuad dan
  • di dalam Fuad itu Shaghof dan
  • di dalam Shaghof itu Lubbun dan
  • di dalam Lubbun itu Sirrun dan
  • di dalam Sirrun itu Aku(yakni di dalam Sirrun itu tempat tajalli Aku dan tempat ia mengenal akan daku)

Sekiranya anda belum membaca dan menjelujuri bicara Imam Ghazali berkaitan dengan Ilmu Laduni yang mendedahkan tentang keupayaan dan potensi ruh kita yang dapat terbang ke daerah yang tiada sempadannya, suluk nasihatkan agar saudara rendahkan diri untuk mengutip mutiara-mutiara yang terhimpun dalam karyanya yang bertajuk Al-Risaalatul lilduniyyah. yang membicarkan tentang Ilmu Laduni atau Ilmu Terus Dari Allahh agar terbuka sedikit sesuatu yang terselindung sebelum ini. Mungkin juga saudara akan faham tuduhan Prof. seperti petikan di bawah adalah salah dan prejudis semata-mata.

Di antara pemikiran-pemikiran sufi yang menyimpang dari ajaran Islam adalah:
1. Menjadikan perasaan peribadi atau ilham sebagai kayu pengukur untuk mengetahui yang baik dan yang buruk. untuk membezakan yang betul dan yang salah, sehinggakan sebahagian mereka ada yang secara berlebih-lebihan mengatakan: “Hatiku menceritakan padaku dari Tuhanku.” Ia merupakan tiimbal balik dari perkataan ulamak sunnah: Sifulan telah meriwayatkan kepadaku dari sifulan, dari Rasulullah s.a.w….”

Kepada mereka yang menafikan dan melemparkan berbagai-bagai tuduhan yang tidak benar mengenai fahaman Wahdatul Wujud, Hulul dan Ittihad, luangkan dan bukakan sedikit minda anda untuk menelusi huraian orang-orang Arif berkaitan perkara tersebut di bawah tajukMisykatul Anwar yang berjaya mengupas maksud ayat Al-Nur berkaitan dengan cahaya agar tersingkaplah sedikit apa-apa yang tertutup sebelum ini.

Telah berkata Sahl bin Abdulullah Al-Qusyairi r.a;

“Bagi orang Alim itu tiga ilmu.
Satu Ilmu yang Zhohir; diberikan ia bagi orang yang ahli zhohir dan
Kedua; Ilmu Batin tiada harus menzhohirkan ia melainkan kepada ahlinya dan
Ketiga; Ilmu antaranya dan antara Allah; tiada harus menzhohirkan ia kepada sesiapa pun”.

Siapalah kita jika nak dibandingkan dengan Hujjatul Islam Imam Ghazali sehingga sanggup menafikan kemuliaan Ilham dan Ilmu Laduni wali-wali Allah dan siapalah kita jika nak ditandingkan dengan ketinggian pena/lidah Sheikh Ibnu Arabi yang berjaya menghimpunkan keunikan hal-ahwal AhlilLah sehingga sanggup menuduh beliau perosak agama Allah. Ingatlah selalu kepada pesanan penghulu-penghulu tasauf sebagaimana berikut;

“Sekurang-kurang siksa orang yang mengingkari ilmu ini ialah tiada diperasakan Allah Taala akan mereka itu suatu jua pun”.

Hamba yang fakir ini, masih banyak jahilnya dan terlalu banyak melakukan dosa dan maksiat sedangkan amal sedikit cuma. Tidak hairanlah jika ada kalam yang tergelincir atau pandangan yang tersasar. Semoga Allah mengampuninya. Semoga bertambah-tambah keberkatan dan kerahmatan buat junjungan besar Nabi Muhammad SAW. guru daripada segala guru, jua untuk para sahabat dan ahli keluarga baginda, para siddiqin, para syuhada, Aulia-Aulia Allah, Guru-guru yang Arif. Mohon diberkati hendaknya tulisan ini kepada saudara-saudara yang seagama.

“Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya berfikir.(Al-Nur:44)

Tinggalkan Balasan

Please log in using one of these methods to post your comment:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s